Yazid pula nak saman empat anggota Search, kecuali...


Selepas disaman penganjur Konsert 35 Tahun Search Syarikat Afjets Sdn Bhd, empat anggota Search kini berdepan kemungkinan disaman rakan sendiri.
Bercakap kepada Malaysiakini, pemain dram Search Yazid berkata dia sedang mempertimbangkan cadangan menyaman empat anggota kumpulan legenda itu tidak lama lagi.
Turut berada dalam ‘radar’ Yazid, atau nama sebenarnya Yazid Ahmad, 54 adalah sebuah stesen penyiaran tempatan.
“Sidang media akan dibuat pada bila-bila masa.
“Ada dua perkara yang menyebabkan tindakan saman itu akan diambil, tetapi belum boleh didedahkan butiran setakat ini kerana ia dianggap sensitif.
“Isu berbangkit yang boleh diberitahu adalah mengenai soal pecah amanah dan pengecualian publisiti di sebuah stesen penyiaran,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun kata Yazid, niat itu mungkin dibatalkan seandainya empat anggota Search itu menerima pelawaan untuk ‘bersua muka.’
“Tindakan saman akan dipertimbangkan sekiranya mereka ingin berjumpa dalam satu sesi dialog, saya lebih suka begitu.
“Kesilapan boleh dinilai semula melalui perbincangan diadakan yang bertujuan mengenalpasti dalang di sebalik pengguguran nama saya dalam perjanjian persefahaman (MOU) konsert,” katanya ketika dihubungi.
Perkara yang membuatkan Yazid benar-benar terkilan adalah tindakan Amy (vokalis), Hamzah (gitar utama), Noordin (gitar) dan Nasir (bass) berhubung Konsert Search 35 Tahun yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Yazid membuat laporan polis pada 4 Mei lalu atas tuduhan pecah amanah berhubung soal pembayaran konsert mereka.
Sehari sebelum itu, Search membuat sidang media untuk memperjelaskan keadaan mereka berhubung laporan polis dibuat selain menuntut Yazid memohon maaf dalam tempoh 48 jam.
Bagi Yazid, kasih dan sayangnya terhadap Search belum pernah pudar apabila mengingatkan kembali segala keringat yang pernah dicurahkan sewaktu menubuhkan kumpulan itu suatu ketika dulu.
Justeru, pembatalan konsert yang sepatutnya dihadiahkan buat peminat dalam meraikan 35 tahun penubuhan kumpulan itu dirasakan amat mengecewakan.
“Saya membuat pelaburan yang banyak demi Search dari album pertama hingga yang ke-15, semua orang tahu dan perkara itu tidak perlu diperkatakan lagi.
“Faedah pelaburan itu diperoleh semula menerusi konsert, masa itulah pemuzik membuat duit.
“Kami sudah menguasai pasaran selama bertahun-tahun dan sentiasa berada di depan tetapi apabila timbul isu seperti ini ia hanya merugikan diri masing-masing,” katanya.
sumber : malaysiakini.com
Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget