Syarikat gergasi Thailand mahu taja Johor DT


PENCAPAIAN, gaya pengurusan serta sikap profesionalisme yang diamalkan oleh skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) sudah mula mendapat perhatian syarikat gergasi dari luar negara.

Terbaharu, ada desas-desus yang mengatakan sebuah syarikat terkenal di Thailand berminat untuk menaja skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu.

Khabar gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menerusi laman Facebook rasmi pasukan itu, Johor Southern Tigers semalam.

Menurut Ismail, syarikat dari Thailand itu juga dikatakan turut menaja beberapa kelab bola sepak di Eropah dan nilai tajaan mereka dengan Johor DT masih dalam peringkat rundingan.

“Ini merupakan satu lagi maklumat yang baik untuk dikongsi dengan para penyokong skuad Johor DT dan berita gembira ini hadir ketika pasukan Harimau Selatan kini berada di Thailand untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan. Ada syarikat besar di sana ingin menaja kelab kita seperti mana syarikat ini menaja beberapa kelab bola sepak di Eropah.

“Secara tidak langsung, ini membuktikan bahawa kita sudah berada pada tahap antarabangsa. Buat masa ini, rundingan sedang dilakukan dan kami akan memaklumkan keputusannya nanti,” kata Ismail.

Pasukan Johor DT bertandang ke negara Gajah Putih itu bagi melengkapkan siri jelajah mereka sebagai persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta Liga Malaysia 2016 yang akan membuka tirai pada 30 Januari ini.

Skuad Harimau Selatan itu dijadualkan menentang beberapa kelab dalam Liga Thailand seperti Chonburi FC dan Big Bang Chulalongkorn University FC.

Jumaat lalu Kosmo! melaporkan, Johor DT muncul pasukan terkaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila mengumpul dana sebanyak RM100 juta setakat ini.

Awal minggu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan RM50 juta kepada skuad Harimau Selatan itu.

Susulan itu, anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail mengikut jejak sama apabila menyumbangkan RM50 juta lagi sebagai dana tambahan kepada pasukan tersebut - kosmo online

Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget