Saya Akan Bersihkan FAM Jika Diminta Jadi Presiden – TMJ




KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi jaminan akan melakukan pembersihan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika diminta menjadi Presiden badan induk bola sepak negara tersebut. Malah, baginda melahirkan keyakinan dapat berbuat demikian hanya dalam tempoh setengah tahun bagi membersihkan segala kecelaruan dalaman FAM walaupun baginda secara peribadi tidak berminat memegang jawatan itu.

“Saya akan menarik minat orang yang benar-benar berpengetahuan dan bersemangat positif untuk berkhidmat dengan baik bukan sekadar dalam organisasi FAM, tetapi juga kepada ahli-ahli gabungan yang lain. “Mereka secara majoritinya hendaklah mempunyai latar belakang dalam bola sepak. Kita juga perlu memantapkan pasukan kebangsaan. Dapatkan khidmat jurulatih luar untuk pasukan kebangsaan sementara menunggu pembangunan akar umbi membuahkan hasil pada masa akan datang,” titah baginda seperti dilaporkan oleh laman Facebook Johor Southern Tigers di sini semalam.

Titah Tunku Ismail, baginda akan memantapkan pertandingan dalaman bola sepak Malaysia di semua peringkat dengan menambah baik pertandingan-pertandingan diadakan bagi membolehkan Liga Malaysia jadi lebih kompetetif dan secara tidak langsung meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

Selain itu, baginda mahu mempertingkatkan pembangunan akar umbi dan pembangunan infrastruktur berkaitan bola sepak kerana pendidikan dan pembentukan adalah amat penting dalam sukan itu. “Saya boleh membantu dengan memberikan 80 peratus hasil hak penyiaran kepada pasukan-pasukan yang terlibat. Apa yang mereka peroleh dari penajaan adalah bonus kepada mereka. 

“Pada masa kini, FAM mengaut 100 peratus hasil penyiaran. Di Jerman dan tempat-tempat lain di dunia, pasukan yang bertanding menerima 80 peratus hasil hak penyiaran dan badan pentadbir hanya menerima 10 -20 peratus sahaja,” titah baginda. Baginda turut memberi jaminan akan meminta pasukan-pasukan yang bertanding untuk berbelanja secara berhemah dan memberi keutamaan kepada pemain tempatan kerana beberapa pasukan yang berdepan masalah membayar gaji pemain mereka kerana terlalu mengutamakan kebajikan pemain import.

“Pengadil seharusnya di bawah naungan badan bebas, bukan FAM, untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan. Saya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti SPRM dan PDRM untuk mencegah korupsi di kalangan pegawai, pemain dan juga pengadil di seluruh negara.,” titah baginda lagi. Tunku Ismail bagaimanapun menjelaskan, baginda tetap tidak berminat memegang jawatan Presiden FAM kerana perlu duduk semeja dengan mereka yang tidak boleh bekerjasama dengan baginda yang dipilih melalui proses undian pimpinan FAM.

“Anda perlu faham bahawa mereka yang berada dalam FAM adalah mereka yang diundi oleh ahli-ahli lain. Kebanyakan daripada mereka berada di sana demi sebab-sebab tertentu dan bukannya untuk memartabatkan bola sepak. Macam mana saya hendak bekerja dalam keadaan begitu?” titah baginda, lapor MYNEWSHUB.CC
Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget