Najib hurai 5 petunjuk perjelas kekukuhan ekonomi Malaysia



DATUK Seri Najib Razak menghuraikan lima petunjuk yang memperjelaskan kedudukan ekonomi Malaysia berada di landasan betul, sekali gus menyebabkan asasnya tetap kuat di sebalik cabaran ekonomi global. Perdana Menteri berkata, antaranya ialah ekonomi tumbuh pada kadar enam peratus dan tahun ini, dijangka mencapai lima peratus, berbanding 1998, ketika krisis ekonomi Asia, apabila ekonomi negara menguncup tujuh peratus.

Kedua, asas ekonomi kuat sekarang disebabkan Malaysia sudah belajar daripada impak krisis 1998. Contohnya, defisit fiskal kerajaan berkurangan daripada negatif 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus tahun ini. "Dengan itu sistem kewangan dan perbankan negara terus memiliki modal dan kecairan banyak, selain pinjaman tidak berbayar dan inflasi, rendah serta boleh diurus," katanya pada ucapan pembukaan mesyuarat tahunan kelima Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sebuah hotel di New York. GSIAC ditubuhkan hasil daya usaha Najib pada 2011 sebagai sebahagian program berterusan beliau untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan meningkatkan kemampuan negara dalam bidang sains dan inovasi.

Najib berkata, petunjuk ketiga ialah kejayaan dasar kebangsaan terutama menerusi Dasar Transformasi Nasional, yang memboleh kadar kemiskinan turun, daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada cuma 0.6 peratus pada 2014. Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar naik 47.7 peratus dari 2009 hingga 2014, manakala 1.8 juta peluang kerja diwujdkan sejak pelancaran program transformasi ekonomi pada 2010.

Keempat, Malaysia masih diiktiraf pada kaca mata dunia kerana ia berupaya menguruskan ekonomi di sebalik berdepan banyak cabaran. "Ini dibuktikan oleh penarafan dan laporan agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch, Moody, Standard & Poor selain gambaran sebenar keadaan ekonomi dan pengurusan ekonomi semasa," katanya.

Petunjuk kelima kata beliau ialah Malaysia juga berada dalam kedudukan 12 dari 60 negara dalam senarai World Competitiveness Yearbook 2014. Dalam ucapan itu, Najib juga memberi penghargaan kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terbunuh dalam nahas helikopter 4 April lalu, sebagai arkitek GSIAC serta memainkan peranan penting merapatkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/85153
Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget