TONTON VIDEO : Ular Sawa, Tedung ‘Gaduh’


SINGAPURA – Dua ekor ular, dipercayai jenis sawa batik dan tedung selar, dilihat ‘bergelut’ di sebatang jalan raya berhampiran Plaza Kajian Techno (RTP) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di sini pada tengah hari Khamis. Penuntut doktor falsafah, Abishek Ambede, yang berkongsi beberapa foto insiden itu dengan stesen tempatan MediaCorp, memberitahu bahawa dua ekor ular tersebut bertarung di jalan raya berdekatan kawasan berhutan.

“Ada antara kami yang sedang kerja di RTP, dapat lihat kejadian itu terus dari pejabat kami. Saya kemudian ke ‘medan pertarungan’ itu dan nampak ular sawa berkenaan mencerut kepala ular tedung tersebut,” ujar Abishek.‘Pergelutan’ antara dua ular tersebut disaksikan khalayak ramai dan berlarutan sekitar 30 minit sebelum ular tedung itu ‘hilang’ dalam semak samun, sementara ular sawa itu pula perlahan-lahan merayau di tepi jalan raya.

Menurut Abishek, dia dan beberapa individu lain kemudian segera menghubungi pihak bahagian kawalan haiwan perosak NTU dan Persatuan Kajian dan Pendidikan berkaitan Isu Keprihatinan Haiwan Singapura (ACRES).

Sepasukan pegawai kawalan haiwan perosak tempatan dilaporkan sudah berjaya menangkap ular sawa itu, namun mereka masih lagi tidak dapat mencari ular tedung tersebut yang dipercayai berkeliaran dalam kampus NTU. Selepas pukul 4 petang pada Khamis, ular tedung tersebut sekali lagi berjaya dilihat beberapa pelajar dan kakitangan NTU, namun kemudian ‘lenyap’ sekali lagi ke dalam sebuah lubang longkang tepi jalan raya.

Setakat 8 malam Khamis, ular tedung itu dilaporkan masih lagi belum berjaya ditangkap, meskipun pegawai kawalan perosak haiwan sudah meletakkan serbuk sulfur dalam usaha menangkap reptilia berbahaya tersebut.

Majlis Pelajar Siswazah NTU menggesa mereka yang berada di kampus universiti berkenaan, supaya lebih berhati-hati, terutama ketika sedang berjalan dekat kawasan semak samun sunyi, lapor Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget