Kota Kinabalu: Sebuah lagu hasil nukilan malim gunung, mendiang
Valerian Joannes, 27, yang ditujukan khas kepada tunangnya Jessica
Sikta, 25, bakal dikeluarkan kepada orang ramai November depan. Lagu bertajuk ‘Igitanku Langon Nu’ itu turut menampilkan 14 lagu
lain dalam bahasa Dusun dan Bahasa Malaysia yang dinyanyikan oleh rakan
dan keluarga terdekat mendiang termasuk tunangnya, Jessica. Pengurus Borneo Music Tamuya Production, Josue James berkata, album
yang dihasilkan itu bertujuan untuk memberi penghormatan kepada semua 18
mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi 5 Jun lalu.
“Mendiang (Valerian) adalah sahabat baik saya sejak di bangku sekolah dan saya menganggapnya seperti adik sendiri. “Lagu berjudul ‘Igitanku Langon Nu’ yang membawa maksud ‘Saya mahu
pegang tanganmu’ ini sepatutnya dinyanyikan semasa perkahwinan mereka
pada November depan,” katanya ketika dihubungi kelmarin. Josue berkata, album yang kini sudah 45 peratus siap itu akan
menggunakan tajuk lagu berkenaan sebagai tema album berkenaan sebagai
tanda penghormatan kepada mendiang. “Lagu ini turut mendapat persetujuan daripada keluarga mendiang
Valerian dan tunangnya, Jessica Sikta, untuk dikeluarkan kepada orang
ramai.
“Berdasarkan perancangan, kami akan melancarkan album ini pada 25
November depan sempena hari lahir mendiang dan semoga lagu ini akan
dapat meningkatkan lagi semangat mereka yang terjejas dalam bencana
itu,” katanya. Terdahulu, lagu itu turut dinyanyikan oleh bekas pelajar Akademi
Fantasia musim ketiga, Felix Agus pada konsert amal ‘Remembering Our
Heroes’ Gunung Kinabalu 20 Jun lalu.
sumber : harian metro - Sumber Berita Malaysia Terkini Online
Catat Ulasan