Kekasih maya rembat RM60,000

AYER KEROH - Gara-gara terpedaya dengan mulut manis seorang lelaki dari negara jiran yang dikenalinya menerusi laman cinta tempatan, seorang wanita kerugian lebih RM60,000 apabila keseluruhan wang simpanannya dirembat lelaki terbabit. Dikenali sebagai Haslinda, 35, mendakwa, segalanya bermula pada awal tahun ini apabila dia ‘termakan’ dengan cerita sedih kononnya kenalan mayanya yang berusia 40-an itu, disamun di Kuala Lumpur ketika menjalankan urusan perniagaan. Menurutnya, awal Februari lalu lelaki itu mahu meminjamkan wang sebanyak RM300, dengan alasan wang dan dokumen perjalanannya serta anak lelaki berusia lima tahun, hilang sewaktu disamun. “Walaupun hanya mengenalinya menerusi telefon, oleh kerana simpati dengan nasib anaknya yang masih kecil, saya meminjamkan wang yang diminta dan bertemu dengannya serta menjaga anaknya itu. “Selang sehari selepas itu, saya dihubungi sekali lagi dan lelaki terbabit meminta saya meminjamkannya wang tunai sebanyak RM5,000 sebagai modal perniagaannya dan berjanji akan memulangkannya dengan lebihan sebanyak RM2,000 sebagai upah menjaga anaknya selepas dia pulang dari Pulau Pinang,” katanya. Dia berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Khidmat Barisan Nasional (Pembela BN) negeri di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Abd Aziz.

Haslinda berkata, dia dihubungi sekali lagi dan mendakwa lelaki itu minta meminjamkannya RM10,000 bagi modal membekalkan kuih-muih. “Saya terus meminjamkan wang untuk kali keempat tanpa ragu dengan jumlah RM10,000, kerana dia memberi janji selain meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan saya,” katanya. Tambahnya, bermula 13 Februari hinggalah Mac lalu, wang yang dipinjamkan kepada lelaki berkenaan  berjumlah lebih RM60,000. “Semua wang dipinjamkan kepadanya dijanjikan dengan bayaran balik tempoh singkat serta jumlah keuntungan,” katanya. Haslinda mendakwa turut menyewakan kereta Chevrolet Optra miliknya dan lelaki itu berjanji akan memulangkan kenderaan tersebut dalam tempoh segera selepas diambil pada pertengahan Februari lalu. “Saya nyaris kehilangan kereta itu, selepas dia minta saya menjualkannya untuk dijadikan modal perniagaan yang saya sendiri tidak mengetahuinya.

“Namun dengan beberapa alasan kenderaan berkenaan tidak berjaya dijual dan saya rasa lega kerana tidak ditimpa dengan bebanan berikutnya,” katanya. Lelaki terbabit turut membuat surat perjanjian jumlah pinjaman yang dibuat pada awal Mei lalu dengan janji wang berkenaan, termasuk keuntungan serta upah penjagaan anaknya akan dipulangkan kira-kira tiga minggu selepas dokumen itu ditandatangani. “Namun sehingga kini surat itu hanya tinggal kenangan dan dia hanya memulangkan wang saya sebanyak RM5,000 pada awal bulan ini dan berjanji akan membayar semula secara berperingkat, namun tidak melakukannya.

“Beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu dia menghubungi saya untuk mengambil anaknya semula dan meminta maaf tidak dapat menjelaskan baki hutangnya,” katanya. Menurut Haslinda dia juga ada membuat carian Google dan mendapati nama lelaki terbabit terkenal dengan pelbagai kes penipuan yang turut membabitkan mangsa di peringkat antarabangsa. Haslinda membuat laporan pada 17 Julai lalu di Balai Polis Tanjung Minyak mengenai penipuan yang dilakukan lelaki terbabit serta turut menafikan dia menculik anak lelaki itu. Sementara itu, Amir Hamzah berkata beliau akan mendapatkan bantuan menerusi Wisma Putra berkaitan kes ini, berikutan ia dilakukan oleh warga asing dari negara jiran. “Kes ini dianggap serius kerana membabitkan penipuan wang tunai berjumlah tinggi dan kita akan membantu pengadu untuk menyelesaikannya,” katanya, lapor sinar harian- Sumber Berita Malaysia Terkini Online
Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget