Guru Maut Disambar Buaya Ketika Mengambil Wuduk Untuk Menunaikan Solat Subuh

LIMBANG: Penduduk Kampung Lubuk Piasau di seberang Kampung Binjai di sini hanya mampu menjerit meminta tolong apabila melihat seorang wanita ditarik seekor buaya ke dasar sungai, awal pagi semalam. Dalam kejadian menyayat hati pada waktu Subuh itu, guru sandaran Nurfazilah Abdul Rahman, 26, dari Kampung Binjai di sini meninggal dunia dipercayai lemas. Mangsa, graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ketika kejadian dikatakan mengambil wuduk pada 5.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh. Menurut abang mangsa, Mohamad Rasid Abdul Rahman, 33, adiknya kerap turun ke sungai untuk mandi dan mengambil air sembahyang sejak kebelakangan ini, meskipun kampung mereka dilengkapi kemudahan air paip. Katanya, jarak jambatan di tebing sungai itu dengan rumah mangsa ialah kira-kira 50 meter. “Ketika kejadian, adik saya turun berseorangan mengambil wuduk. Selepas itu, kami dikejut dengan jeritan penduduk Kampung Lubuk Piasau di seberang kampung.
 
“Sebaik mendengar jeritan itu, kami sekeluarga bersama penduduk kampung segera turun ke jambatan dan mendapati adik saya ditarik ke dalam sungai oleh buaya tersebut,” katanya ketika ditemui media di Rumah Mayat Hospital Limbang, semalam. Mohamad Rasid berkata mereka juga sempat menyelam untuk mencari mangsa namun gagal. “Tidak lama selepas insiden itu, kami melihat kaki adik timbul tetapi tenggelam semula ditarik buaya berkenaan. “Tidak sampai 20 minit kemudian baharu buaya itu melepaskan tubuh adik saya yang sudah tidak bernyawa pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

sumber : utusan borneo - Sumber Berita Malaysia Terkini Online
Labels:

Catat Ulasan

[blogger]

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget